Wednesday, July 6, 2011

Al-Fatehah kepada mangsa kebakaran.Kembar rentung berpelukan





KUALA TERENGGANU – Pilu hati seorang bapa apabila melihat anak kembar perempuannya rentung dalam keadaan berpelukan selepas gagal menyelamatkan diri dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Durian Mas, Manir dekat sini semalam.
Kejadian pukul 9.15 pagi di rumah kos murah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu menyebabkan dua kanak-kanak malang masing-masing berusia tiga tahun, Nur Fatin Farhana dan Nur Fatin Farhanah mati di lokasi kejadian selepas rentung lebih 50 peratus.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa sedang bermain di dalam bilik manakala bapa mereka, Hamid Mustafa, 40, sedang tidur di ruang tamu manakala ibu mereka, Suriyani Sulong, 40, sedang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini.
Difahamkan, Hamid yang menganggur dan menghidap penyakit sawan tidak berupaya untuk berjalan jauh.
Mengimbau semula kejadian itu, Hamid memberitahu, dia menyedari berlaku kebakaran selepas terdengar jeritan sepupunya, Wan Norizan Ismail, 40, yang tinggal di kawasan sama mengatakan kepulan asap keluar dari tingkap bilik.
Katanya, dia cuba bangun untuk mendapatkan pasangan anak bongsu daripada tujuh beradik itu tetapi gagal kerana api yang semakin marak.
“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan mereka kerana kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya cuba membawa mereka keluar dari bilik itu tetapi tidak mampu,” ceritanya di sini semalam.
Tambahnya, pasangan kembar itu jarang bermain di dalam bilik kerana mereka lebih gemar bermain di ruang tamu dan luar rumah.
“Malam sebelum kejadian, mereka langsung tidak mahu tidur walaupun sudah pukul 4 pagi hinggakan isteri saya terpaksa melayan mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, Wan Norizan berkata, dia terus menjerit nama pasangan kembar itu untuk menyuruh mereka keluar sebaik ternampak asap.
“Selepas tidak nampak kelibat kanak-kanak itu, saya mencari bapanya yang berada di ruang tamu. Selepas api padam, anggota bomba menemui mereka yang sudah rentung itu sedang berpelukan,” katanya.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Ridzuan Hassan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas akibat kepulan asap selain melecur.
nur fatin farhana (kiri) dan Nur Fatin Farhanah.

Tinggal keluarga demi Sosilawati




SHAH ALAM - Isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada empat mangsa pembunuhan termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia marah apabila suaminya sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari kerana ingin membantu orang lain.
Suzana Radin Pangat, 39, berkata, kemarahannya diluahkan melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi: "Kenapa sanggup nak bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari."
Wanita itu menghantar SMS itu kepada telefon bimbit milik Noorhisham, lima minit selepas panggilan terakhir suaminya yang memberitahu bahawa dia tidak boleh pulang selama tiga hari kerana cuba menyelamatkan Sosilawati.
Sebelum itu, Suzana memberitahu, Noorhisham menghubunginya pada pukul 8 malam 30 Ogos 2010 dan memberitahu dia sedang cuba menyelamatkan Sosilawati.
"Noorhisham kata Kamal, pemandu Sosilawati (Kamaruddin Shamsuddin) ugut Sosilawati sebab ada satu gambar tidak elok nak disebarkan, jadi dia (Noorhisham) dan Kamil (Ahmad Kamil Abdul Karim) terpaksa bantu Sosilawati dalam hal ini.
"Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf pada saya banyak-banyak dan dia kata dalam masa tiga hari dia balik dan akan cerita apa berlaku pada dia," jelas Suzana.
Selepas itu, dia bertanya di mana suaminya berbuka puasa pada hari itu namun suaminya tidak menjawab pertanyaan itu malah terus mematikan talian.
Ketika ini, saksi kelapan pendakwaan itu tidak dapat menahan perasaan sebak sehingga terpaksa berhenti seketika untuk menenangkan dirinya.
Suzana memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, yang merupakan seorang pegawai bank, Ahmad Kamil, 32, seorang peguam, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.40 malam 30 Ogos tahun lepas.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, mengapa dia tidak menghubungi Noorhisham sebaliknya hanya menghantar SMS?.
Suzana yang bekerja sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur berkata, dia hanya menghantar SMS kerana berada dalam keadaan marah ketika itu.
Ishak: "Ada Noorhisham hubungi awak semula selepas itu?"
Suzana: "Dia ada call tetapi saya tidak jawab."
Ishak: "Ada cuba hubungi suami selepas hantar SMS?"
Suzana: "Ada, masa sahur kira-kira pukul 3 pagi 31 Ogos 2010, tetapi saya tidak berjaya hubungi dia."
Terdahulu, saksi itu berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya yang dikahwini pada 1995 ialah semasa Noorhisham menghantarnya ke pejabat pada pukul 8 pagi 30 Ogos 2010.
Ishak: "Semasa hantar awak ke tempat kerja, ada (Noorhisham) beritahu apa-apa tentang tugasan dia hari itu?"
Suzana: "Dia ada beritahu petang dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan Sosilawati. Kira-kira pukul 4 petang hari yang sama suami ada hubungi saya di pejabat memberitahu dia akan bersama Ahmad Kamil pergi ke Banting dan akan naik kereta Ahmad Kamil."
Ditanya mengenai pakaian yang dipakai Noorhisham ketika menghantar dia ke tempat kerja, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, suaminya memakai baju korporat CIMB Islamic berwarna hijau dan jam tangan jenama Longines yang diperoleh daripada majikannya sebagai ganjaran kerana perkhidmatan cemerlang pada 2008.
Ketika Ishak menunjukkan jam tangan itu kepada Suzana untuk dicamkan, saksi tersebut dilihat membelek-belek jam tangan itu sebelum tunduk dan menangis
PATHMANABHAN (tengah) bersama tiga pekerjanya yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga rakan dibawa ke Mahkamah Shah Alam, Selangor semalam.

Sorok bom, parang ala komunis





SHAH ALAM – Dalang dan penyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Sabtu ini semakin terserlah dengan sikap pro komunis apabila mereka didapati menyembunyikan senjata tajam dan bom petrol di semak belakang sebuah tokong di sini kelmarin.
Menurut polis, taktik tersebut tidak ubah seperti pejuang komunis pada zaman darurat apabila mereka sanggup menyembunyikan atau menanam barang berbahaya tersebut di lokasi tertentu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa ketika pemeriksaan. Dalam kejadian pukul 7.20 malam di belakang sebuah tokong di Batu 14, Jalan Gombak Lama dekat sini, polis menemui 36 botol bom petrol, 17 pemetik api, 20 bilah parang dan sejumlah bebola besi yang dipercayai dijadikan peluru.
Selain itu, sebanyak 44 helai baju-T kuning tertera tulisan Bersih, 25 ceraian kain warna kuning dan 36 ceraian kain warna merah turut dijumpai. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan daripada seorang lelaki Orang Asli ketika dia mencari rotan di situ.
TUN HISAN (dua dari kiri) melihat pegawainya memeriksa bom petrol dan senjata berbahaya yang dirampas di semak belakang sebuah tokong di Gombak pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

'Berani buat berani tanggung' - Najib

PUTRAJAYA - Kerajaan sedia menemui penganjur demonstrasi jalanan yang dicadangkan 9 Julai ini berhubung hasrat mereka mengadakan perhimpunan di stadium, asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan, pihak terbabit ingin mengadakan pertemuan dengan kerajaan bagi menimbang kemungkinan mengadakan perhimpunan itu di stadium.
"Kita sedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan supaya perhimpunan itu diadakan di stadium dengan syarat mereka akan pergi dengan aman, mengadakan perhimpunan dengan aman dan mereka akan balik dengan aman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia di pejabatnya di sini semalam.
Penganjur demonstrasi jalanan 9 Julai ini kini mengubah rancangannya untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium selepas pengerusinya, Datuk S. Ambiga menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara semalam.
Najib berkata, jika perhimpunan itu diadakan di stadium dan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, maka pihak penganjur demonstrasi itu yang akan dipertanggungjawabkan "atas segala yang boleh dan akan berlaku yang boleh menyebabkan sama ada huru-hara atau kerosakan harta benda ataupun boleh menyebabkan mana-mana individu tercedera ataupun lebih buruk daripada itu."
"Kita harap mereka akan menepati janji mereka supaya segala-galanya berjalan dengan baik, dengan aman dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.
Ditanya sama ada penganjur perhimpunan itu sudah membuat permohonan kepada kerajaan, Perdana Menteri berkata, setakat ini pihak berkuasa belum menerimanya.
"Kita telah buat tawaran tetapi ia tertakluk kepada syarat. Perkara pokok ialah semuanya mesti diadakan secara aman," kata Perdana Menteri.
Ditanya sama ada UMNO akan turut mengadakan perhimpunan Sabtu ini, Najib yang juga Presiden parti berkata, parti itu tidak akan berbuat demikian.
"Kalau UMNO hendak respons, kita boleh buat perhimpunan yang lebih besar, demonstrasi yang lebih besar," katanya.- Bernama

Berdemonstrasi dalam stadium sahaja

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini semalam bersetuju membatalkan demonstrasi jalanan yang dijadual pada 9 Julai ini.
Mereka sebaliknya bersetuju supaya perhimpunan tersebut diadakan pada tarikh yang sama di sebuah stadium yang akan ditentukan tidak lama lagi sebagaimana ditawarkan oleh kerajaan sebelum ini.
Jawatankuasa itu yang terdiri daripada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin menghadap Tuanku Mizan petang semalam.
"Kami telah memberitahu Tuanku bahawa kami menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.
"Sehubungan itu, perhimpunan di atas jalan raya tidak akan berlangsung pada Sabtu ini," kata Ambiga kepada pemberita selepas menghadap Tuanku Mizan lebih sejam setengah.
Menurut Ambiga lagi, pihaknya berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan secara aman di dalam stadium.
"Kami berpendapat ini jalan terbaik untuk meneruskan perhimpunan. Kerajaan menawarkan stadium, maka kami akan meneruskan perhimpunan di stadium,'' katanya.
Ketiga-tiga pemimpin Bersih 2.0 itu dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pukul 1.55 petang.
Ahad lalu, Tuanku Mizan bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.
Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.