Friday, June 24, 2011

Persediaan jadi negara maju

Najib Tun Razak diiringi Azman Mokhtar menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika melawat Pintar Mobile Learning Unit (PMLU) selepas melancarkan Hari Terbuka GLC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif



KUALA LUMPUR 24 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan agenda kerajaan kini tertumpu kepada usaha transformasi negara dalam memastikan Malaysia bersedia untuk menjadi negara maju menjelang 2020.
Beliau berkata, jika ada sebarang keputusan sukar yang perlu dibuat dalam program transformasi ini, rakyat harus menerimanya untuk kebaikan pada masa depan.
Menurut Najib, beliau amat komited dalam melakukan usaha-usaha transformasi tersebut kerana negara tidak mempunyai pilihan lain selepas melihat kepada kedudukan kewangan awam, kewangan kerajaan dan beberapa isu kawal selia yang akan memberikan kesan kepada iklim pelaburan dan perniagaan.
"Sistem penyampaian kerajaan perlu dipertingkatkan untuk memberikan faedah kepada rakyat daripada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan dan program-program ini berjalan baik serta menunjukkan tanda-tanda menggalakkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang perlu ditingkatkan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Hari Terbuka GLC 2011 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar dan ketua-ketua syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC).
Hari terbuka selama tiga hari itu diadakan bertujuan mewujudkan kesedaran serta meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai peranan unik yang dimainkan oleh GLIC dan GLC.
Acara itu juga akan mengetengahkan sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
Acara tiga hari itu yang bertemakan "Pembangunan Negara, Menyentuh Kehidupan", bermula pada hari ini, dengan penyertaan lima GLIC dan 18 GLC.
Menurut Perdana Menteri, GLC akan terus melupuskan aset bukan teras dan bukan kompetitif bagi membolehkan syarikat-syarikat tersebut menumpukan kepada perniagaan teras agar terus berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berbangga kerana GLC bukan sahaja telah menunjukkan prestasi yang baik, malah telah mengembangkan perniagaan mereka melangkaui sempadan Malaysia.
"Kita melihat sesetengah GLC ini kini menjadi perbadanan pelbagai negara Malaysia. Inilah jenis transformasi yang kita sasarkan pada persimpangan ini di dalam sejarah negara kita," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka supaya tidak leka tetapi sentiasa bersedia untuk melakukan penambahbaikan termasuk dalam Program Pembangunan Vendor.
Perdana Menteri berkata, program itu bukan sahaja membantu para meningkatkan taraf ekonomi dan bidang perniagaan tetapi menjadi satu cara sempurna yang mana keupayaan menjana kekayaan GLC memanfaatkan komuniti perniagaan secara lebih meluas.
"Menurut Kad Pelaporan, 130 vendor telah lulus (berdikari) dari program tersebut.'' kata beliau.

No comments:

Post a Comment