Friday, June 17, 2011

Alahai ape nak jadi remaja beremosi nie?

Sasar pemandu emosi-agresif




YUSOF, 21, adalah seorang penuntut institut pengajian tinggi dan seperti rakan yang lain beliau memiliki sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan seharian.
Bagaimanapun, bagi Yusof menunggang motosikal juga membantu beliau menenangkan emosi.
"Apabila saya menghadapi masalah atau berasa bosan, saya menunggang secara semberono untuk melepaskan emosi yang terpendam. Saya suka menunjukkan rasa teruja saya semasa menunggang atau memandu.
"Saya adakalanya melakukan perkara yang menakutkan di atas jalan. Bagi saya, adalah menyeronokkan kalau dapat mengatasi pemandu lain atau meninggalkan pemandu lain di belakang apabila bermula dari lampu trafik.
"Saya suka memotong kereta lain di lebuh raya walaupun saya tidak mempunyai alasan untuk sampai dengan cepat. Saya memaki hamun pemandu lain atas jalan. Saya lekas marah terhadap mereka yang memandu perlahan. Saya sentiasa menunggang atau memandu melampaui had laju.
"Saya menerima lima hingga tujuh saman sejak tiga tahun yang lepas. Terbabit dalam empat kemalangan jalan raya yang kebanyakannya kerana kecuaian sendiri," kata Yusof.
Yusof merupakan salah seorang daripada pemandu/penunggang 'emosi-agresif' yang dikenal pasti semasa satu kajian profil pemandu muda berisiko tinggi.
Kajian itu dikendalikan oleh Dr. Hasrina Mustafa dan Profesor Madya Dr. Adnan Hussein, kedua-duanya dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Mohd. Yusof Abdul Ghani dari Institut Malaysia bagi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).
Kajian psikososial itu dijalankan ke atas 390 penuntut USM pada Januari 2010 untuk menilai pemandu muda di Malaysia bagi tujuan kempen keselamatan jalan raya berdasarkan kepada jenis personaliti, sikap dan tingkah laku semasa memandu.
Profil pemandu berisiko tinggi



Kajian itu mengenalpasti ciri-ciri psikososial utama pada pemandu atau penunggang berisiko tinggi di Malaysia yang lazimnya mengalami kemurungan yang tinggi, cenderung mencari sensasi atau melepaskan geram di jalan raya.
Oleh itu, masalah kumpulan tersebut dapat dilihat dalam bentuk gaya memandu agresif atau berbahaya seperti memandu dengan laju, potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik dan tidak berhenti di lampu merah.
Kumpulan berisiko tinggi itu sebahagian besarnya terdiri daripada lelaki dengan pengalaman memandu yang tidak seberapa.
Keselamatan jalan raya adalah isu besar di Malaysia. Statistik oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya baru-baru ini menunjukkan bahawa secara purata 18 orang maut setiap hari kerana kemalangan jalan raya.
Kemalangan jalan raya adalah punca utama kelima bagi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia selepas beberapa penyakit.
Keputusan kajian tersebut membawa implikasi yang besar khasnya dalam merumus kempen-kempen keselamatan jalan raya yang disasarkan kepada golongan belia di Malaysia.
Pertamanya, keputusan itu membahagikan audiens sasaran berdasarkan kepada jenis personaliti, sikap dan tingkah laku semasa memandu.
Dengan membahagikan pemandu muda di Malaysia kepada kumpulan berisiko tinggi dan berisiko rendah, mesej-mesej khusus dalam kempen serta program intervensi dapat dirumuskan untuk menampung keperluan kedua-dua kumpulan ini.
Fokus kumpulan berisiko tinggi



Jika berlaku kekangan daripada segi sumber-sumber kempen seperti pembiayaan, masa atau tenaga kerja, kumpulan berisiko tinggi harus diberi keutamaan berbanding kumpulan berisiko rendah.
Keduanya, mesej kempen perlu menonjolkan mengapa penting untuk memisahkan perbuatan memandu daripada masalah emosi atau keghairahan, seperti cara mereka diajar untuk memisahkan alkohol dan memandu.
Seorang perancang kempen keselamatan jalan raya boleh juga menunjukkan cara-cara sesuai untuk melepas atau menyalurkan emosi seperti berkongsi atau menyampaikan masalah, keseronokan dan keghairahan bersama orang yang rapat berbanding melepaskannya di jalan raya.
Pada dasarnya, pemandu berisiko tinggi mesti dimaklumkan akan nasib yang bakal menimpa kesan daripada emosi yang turun naik semasa memandu.
Perancangan bagi kumpulan berisiko
Bagi kumpulan pemandu yang berisiko rendah, program intervensi jangka pendek mungkin memadai memandangkan mereka lebih responsif kepada program intervensi keselamatan jalan raya berbanding kumpulan berisiko tinggi.
Bagi kumpulan berisko tinggi, program intervensi ini perlu dijalankan secara bersiri untuk menangani ciri dan tingkah laku psikologi yang dikenalpasti.
Mereka harus diajar untuk mengasingkan emosi mereka semasa memandu.
Untuk mengurangkan kemurungan, pemandu berisiko tinggi perlu dilengkapi dengan kemahiran yang berkaitan seperti kemahiran pengurusan kemurungan dan meningkatkan keyakinan diri.
Pemandu berisiko tinggi perlu dilatih untuk tidak menunjukkan emosi atau melepaskan tekanan jiwa di jalan raya.
Program intervensi akhir mesti menangani gaya pemanduan dalam kalangan pemandu berisiko tinggi.
Program itu boleh diadakan dalam bentuk bengkel mengajar semula, membetulkan gaya pemanduan berbahaya seperti memandu dengan laju dan berlumba atas jalan raya.
Memandangkan kebanyakan pemandu muda berisiko tinggi tidak mempunyai motivasi untuk memandu dengan selamat, mereka perlu didedahkan melalui paparan video berhubung nahas jalan raya yang boleh berlaku akibat pemanduan secara semborono.
Kesimpulannya, pemandu muda berisiko tinggi di Malaysia boleh digambarkan sebagai pemandu/penunggang emosi-agresif yang tidak dapat memisahkan emosi dan keghairahan semasa memandu. - Bernama
PENGUATKUASAAN oleh pihak polis tidak pernah menakutkan golongan pemandu emosi-agresif untuk membahayakan diri dan nyawa orang lain di jalan raya.

GOLONGAN muda antara yang golongan pemandu yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk melepaskan tekanan dan berseronok.

PIHAK berkuasa perlu mengenal pasti kelompok pemandu emosi-agresif dan menjalankan kempen keselamatan jalan raya yang lebih kerap ke atas mereka.

No comments:

Post a Comment