Friday, June 17, 2011

Dua beradik maut dalam nahas

17/06/2011 12:41pm

IPOH – Dua kanak-kanak adik beradik mati tergelek sebuah lori treler manakala datuk mereka cedera dalam kemalangan di Kuala Trong dekat Taiping semalam.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata, Norshafikah Abdul Rahim, 15, dan adiknya Mohd Azizi Abdul Rahim, 5, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada 6.15 petang.
Nahas berlaku semasa Mahmud Din, 75, bersama Mohd Azizi, sedang dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengambil Norshafikah dari sekolah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya motosikal itu tergesel treler berkenaan yang datang dari arah yang sama semasa berada di sebuah persimpangan menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak dan kedua-dua beradik itu digelek oleh treler itu.
Mahmud dimasukkan ke Hospital Taiping dan keadaannya dilaporkan stabil.
Pemandu treler berusia 40-an itu ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis, kata Wan abdullah.
Dalam kejadian lain, penunggang motosikal, Sharinal Amin Khuzairi, 25, terbunuh selepas terbabas di Jalan Simpang Empat-Hutan Melintang pada 8 malam tadi. - Bernama

1 comment: